Saturday, June 15, 2019

BAB 10 PENGURUSAN BIMBINGAN PENASIHATAN

BAB 10 PENGURUSAN BIMBINGAN PENASIHATAN

Komponen utama dalam pengurusan penasihatan murid 
  1. Bimbingan
  2. Mentoring 
  3. Penasihatan

Bimbingan

"Satu proses menolong individu untuk memahami diri dan alam sekelilingnya"


 Shertzer & Stone 1971


"Proses yang profesional dan bersistematik yang bertujuan untuk menolong individu melalui pendidikan"
Mathewson 1962


5 Fasa Utama Proses Bimbingan dan Penasihatan 

FASA 1
Kesedaran guru sebagai pembimbing dan penasihat pelajar - Dalam fasa ini, pihak pengurusan sekolah terlebih dahulu perlu menerima konsep ini. Penekanan haruslah diberikan kepada guru yang mengajar pelajar kerana mereka lebih rapat dan arif mengenai pelajarpelajar mereka berbanding guru yang tidak mengajar. Mereka perlu disedarkan tentang kepentingan perkhidmatan bimbingan dan penasihatan sebagai pengelola dan sumber rujukan pelajar. 

FASA 2
Pada tahap ini, semua guru dibantu dan diterapkan dengan beberapa kemahiran asas bimbingan dan penasihatan melalui kursus, seminar dan bengkel khas. Antara kemahirankemahiran yang dicadangkan iaitu;
Ø  Kemahiran perkembangan personaliti 
Ø  Kemahiran melayan dan kemahiran mendengar
Ø  Kemahiran lisan (verbal) dan bukan lisan (non verbal)
Ø  Kemahiran mengenal pasti pelajar yang bermasalah
Ø  Kemahiran asas teori dan teknik kaunseling dalam proses menolong.

FASA 3
Pada tahap ini, guru-guru dapat mengaplikasi kemahiran-kemahiran asas kaunseling dan boleh mengenal pasti pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan dan  penasihatan. Secara umumnya, pelajar yang memerlukan bimbingan ini dapat dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu;-
Ø  Pelajar yang datang secara sukarela
Ø  Pelajar yang di bawah pemerhatian 
Ø  Pelajar yang dikenalpasti sendiri oleh guru-guru sebagai memerlukan bimbingan melalui pemerhatian dan diagnosis 

 Antara teknik atau kaedah yang boleh digunakan oleh guru untuk tujuan mengumpul maklumat tentang pelajar yang menerima perkhidmatan bimbingan ini ialah teknik ujian, temubual, soal selidik, teknik sosiometrik, teknik skala pemeringkatan, teknik autobiografi dan rekod kesihatan.


FASA 4
Secara khususnya, pelajar akan dibimbing melalui tiga cara iaitu menjalankan bimbingan secara individu, bimbingan secara kelompok dan juga konsultansi yang melibatkan ibu bapa. 




Penasihatan 
"Memberi nasihat ialah strategi menyelesaikan masalah tanpa memikirkan perasaan individu yang terlibat"
Zuraidah 1994


Tahap dalam proses membimbing pelajar

1) Membina Hubungan 
Di tahap ini guru membina perhubungan yang mesra, saling mempercayai dan selamat dengan pelajar agar perbincangan dapat dijalankan dengan lebih baik. Guru harus menerima pelajar seadanya iaitu melalui penerimaan positif tanpa syarat, memperlihatkan ketulenan dan ikhlas sehingga pelajar yakin bahawa guru adalah seorang yang boleh dipercayai, kompeten, dan peramah.
 Contoh: guru melihat pelajar muram dan tidak ceria sewaktu dalam kelas, lantas mendekati pelajar tersebut. 
“Apa khabar Amy, saya lihat Amy macam sedih saja. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”


2) Penerokaan
Pada tahap ini, guru cuba membantu pelajar dengan meneroka permasalahan utama mereka melalui beberapa kemahiran tertentu supaya pelajar dapat memberitahu apakah masalah yang dialaminya dengan jelas. 
Contoh: 
Pembimbing : “Apa agaknya yang mendorong Amy berjumpa dengan saya hari ni?”
Amy: “Entahlah cikgu, saya betul-betul sedih. Kawan saya Ani memarahi saya tadi,      saya bukan buat salah besar pun.....”
Pembimbing: hmm...... ...kawan awak marah ? (dorongan minima)



3) Definisi Masalah & Membina Matlamat
Guru perlu melihat dengan lebih mendalam permasalah pelajar melalui pendefinisian permasalahan utama dan membina matlamat mereka. Pada tahap ini biasanya, pelajar dan guru telah dapat mengenalpasti apakah masalah utama yang menyebabkan pelajar berkeadaan sedemikian. Matlamat tidak akan tercapai seandainya masalah utama tidak dikenal pasti. 
Contoh;-
Pembimbing : “Dari apa yang telah Amy beritahu saya, Amy merasakan bahawa sikap cuailah yang menyebabkan Amy dimarahi oleh Ani. Agaknya, apa yang ingin Amy lakukan untuk mengatasi masalah ini”
Pelajar: “Ya....Saya rasa, saya perlu lebih berhati-hati ketika menggunakan peralatan kawan-kawan...saya tak sanggup dimarah sekali lagi”.


4) Alternatif Penyelesaian & Pelan Tindakan
Pelajar akan dibantu membuat beberapa alternatif penyelesaian terhadap permasalahan yang mereka alami dan membantu mereka merancang tindakan yang sesuai selaras dengan kemampuan mereka. Setelah situasi sebenar difahami, berlaku proses perbincangan antara dua pihak untuk melihat alternatif-alternatif penyelesaian dan pilihan-pilihan yang dibuat perlu membawa implikasi positif.
Contoh;-
Pembimbing: “Selain mengamalkan sikap lebih berhati-hati ketika menggunakan peralatan rakan-rakan,  apa agaknya yang Amy dapat lakukan supaya kawan-kawan lebih menghormati dan yakin terhadap Amy?”
Pelajar: “Saya rasa, saya perlu membeli sendiri barang-barang tersebut, tak perlu pinjam-meminjam lagi. Kalau tidak cukup wang saya boleh kumpul duit sedikit demi sedikit. Cuma mungkin ambil masa sedikit untuk dapat mengumpulkan jumlah yang diperlukan. 

5) Melaksanakan Tindakan
Tahap seterusnya ialah melaksakan tindakan yang dibincangkan dan membuat penilaian terhadap tindakan tersebut.  


6) Penamatan 
Setelah pelajar mencapai matlamat dan objektifnya, maka hubungan bimbingan bolehlah ditamatkan. Guru akan memantau pelajar seterusnya melalui tindakan susulan. 


FASA 5
Fasa ini melihat keberkesanaan perhubungan bimbingan dan penasihatan itu sama ada berkesan atau tidak berkesan. Hasil analisis ke atas pelajar dibahagikan kepada dua kategori iaitu berjaya dibimbing atau tidak berjaya dibimbing. Keputusan dari fasa ini akan dijalankan ke dalam fasa berikutnya jika perlu.


  
Mentoring 
"Membimbing dan menyokong pelajar (mantee) supaya beliau dapat melalui satu transisi sukar dengan lebih mudah, tentang melicinkan tatacara, yang dapat membenarkan, menyakinkan di samping mengurus  dan mengarahkan"
(Fletcher 2000)


Proses Dalam Mentoring 
PROSES 1
Berikan masa dan tingkatkan usaha supaya terbina perhubungan yang dikehendaki. Mentor dan mentee perlu menggunakan masa yang sesuai untuk mengenali satu sama lain supaya timbul rasa saling mempercayai.  Jika ini berlaku dengan baik maka proses mentoring akan menjadi satu aktiviti yang mudah dan bermakna. 

PROSES 2
Langkah seterusnya adalah untuk mentor dan mantee sama-sama menjana persetujuan/ perjanjian yang perlu dilaksana dan dipatuhi oleh mereka semasa sesi mentoring. Perjanjian meliputi penyediaan jadual untuk sesi mentoring, mengenalpasti batasan serta cara dan teknik mentoring. Wujudnya perjanjian bersama ini akan mewujudkan perhubungan yang harmoni.

PROSES 3
Merupakan langkah utama mentoring kerana melibatkan fungsi dan peranan mentoring itu sendiri. Pada ketika ini, kedua-dua mentor dan mentee perlulah menentukan matlamat mentoring, menjana senarai latih-tubi dan aktiviti mentoring supaya matlamatnya tercapai. Pada ketika ini juga, perlu ada usaha untuk mewujudkan perhubungan yang harmoni dan berterusan antara mereka. 

PROSES 4
Proses mentoring berakhir apabila matlamatnya tercapai di mana ia dinilai oleh mereka yang berkenaan. Perhubungan mentoring hendaklah berakhir dengan tahap pencapaian positif iaitu satu transformasi berperingkat kepada perhubungan yang kasual. Mentoring tidak sepatutnya berakhir tiba-tiba. Dalam kes tertentu pula, perhubungan mentor-mantee akan berkembang kepada sesuatu yang lebih kekal. 

No comments:

Post a Comment